KEKUATAN NEGARA DISALAHGUNAKAN


KUALA TERENGGANU – Kekuatan negara; wang, jentera dan media disalahgunakan semaksimanya oleh Barisan Nasional (BN) bagi memastikan mereka tidak kecundang dalam Pilihanraya Kecil Parlimen P094 Hulu Selangor baru-baru ini.

Selain itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Ustaz Harun Taib turut mengakui tindakan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar parti pada saat kempen berlangsung turut menyumbang kepada kekalahan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun menurutnya, ia hanyalah faktor kecil dan punca utama kemenangan Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan adalah strategi menggunakan semaksimum mungkin kekuatan negara yang dimainkan parti itu di kawasan terbabit.

“BN guna wang. Saya tidak tahu wang itu banyak atau sedikit, tetapi sudah tentu ada yang dilaburkannya.

“Memang nampak sangat kerahan BN di sana, jentera mereka ramai sangat,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas kemenangan BN di kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Calon BN, P Kamalanathan menewaskan Datuk Zaid Ibrahim daripada PKR pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan majoriti 1,725 undi, sekali gus mengembalikan semula kerusi itu kepada BN.

Kamalanathan menerima 24,997 undi, sementara Zaid memperolehi 23,272 undi.

Mengulas lanjut Ustaz Harun berkata, meskipun BN berjaya merampas kembali kerusi Hulu Selangor, namun parti itu tidak harus berbangga diri kerana berdasarkan rekod, Pakatan Rakyat telah memenangi banyak pilihan raya kecil sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, kekalahan itu tetap dijadikan pengajaran kepada PAS, DAP dan PKR supaya bekerja lebih cermat, selain memiliki strategi pada masa hadapan.
Read More

JELASKAN JAWATANKUASA ANTARA AGAMA

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu kerajaan memberikan penjelasan terperinci berhubung penubuhan Jawatankuasa Kerja Perhubungan Antara Agama yang kini menimbulkan banyak tanda tanya di kalangan rakyat negara ini. PAS melihat bahawa wujudnya keperluan untuk kerajaan memberikan penerangan berhubung kewajaran penubuhan jawatankuasa ini dan juga membuka ruang kepada rakyat untuk memberikan pandangan.

Dalam hal, ini menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk menjelaskan kedudukan sebenar jawatankuasa ini termasuklah garis panduan, bidang tugas dan kuasanya, kekerapan mereka perlu bermesyuarat, serta kepada siapa mereka bertanggungjawab memberikan laporan atau menyampaikan pandangan.

Rakyat juga mahu tahu bagaimana pemilihan keahlian jawatankuasa ini dipilih, tempoh perkhidmatan dan apakah sebabnya wakil Ulama' dari Majlis Fatwa Kebangsaan tidak dijemput sama.

Baru-baru ini, bekas anggota Parlimen Kota Baharu Datuk Ilani Isahak yang dilantik mengetuai Jawatankuasa itu memaklumkan bahawa jawatankuasa tersebut bertanggungjawab mengenal pasti masalah yang boleh menjejaskan keharmonian antara agama, termasuk pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah ibadat dan isu tanah perkuburan.

PAS melihat isu-isu yang bakal disentuh ini amat sensitif. Mahu tidak mahu, ia akan membabitkan perbahasan mengenai perlembagaan. Maka ada juga keperluan bagi meletakan wakil dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan Majlis Peguam Malaysia.

Walaubagaimana pun PAS menolak sebarang usaha untuk mempengaruhi pindaan perlembagaan atau dasar-dasar Kerajaan yang boleh menjejaskan kedudukan Islam serta hubungan antara agama dinegara ini.

Oleh itu bagi mengelakkan lebih banyak persepsi dihamburkan kalangan rakyat, maka menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk memberikan penjelasan segera melalui wakil-wakil organisasi Kerajaan lainnya, kumpulan masyarakat, NGO, media dan parti politikn sebelum jawatankuasa ini dibenarkan memainkan peranannya.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Read More

MEB GAGAL TANPA MODAL INSAN ISLAM


KUALA TERENGGANU – Walau sebaik mana sekali pun rancangan diatur dan dilaksanakan, ia tetap akan gagal sekiranya tidak dipacu oleh modal insan yang cemerlang.

Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak akan gagal sebagaimana Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana menghadapi masalah pelaksana.

”Masalahnya adalah masalah pelaksana, pelaksana inilah yang berkait dengan modal insan,

”dalam kita membina modal insan kita mestilah melihat kepada komponen-komponen yang asasi kepada naluri dan fitrah manusia,”saran Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau yang juga ADUN Rhu Rendang berkata demikian ketika membahaskan titah perasmian Tengku Seri Panglima Raja dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu semalam, 7 April.

Menurutnya, Allah menjadikan manusia mempunyai jasad, ruh, individu, masyarakat, bahan-bahan yang digunakan, kewajipan terhadap hak-hak Allah dan khilafah iaitu memakmurkan muka bumi dengan peraturan dan kebijaksanaan yang diturunkan olehNya.

Katanya, komponen tersebut merupakan mata rantai yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain dalam membangunkan modal insan.

”Kita bercakap tentang Ulul-albab, kita bercakap tentang ‘khaira ummah’ sebaik-baik umat, bercakap tentang ‘ummatan wasata’, umat yang pertengahan,


“tetapi kita tidak menyentuh mata-mata rantai yang merupakan komponen bagi membentuk Ulul-albab, penekanan yang utama ialah aqidah,”jelasnya.

Bagi orang Islam, beliau berkata, aqidah adalah mengikhlaskan diri kepada Allah SWT dan menolak ‘toghut’ iaitu setiap yang melampaui batas, bukan sahaja dalam aspek ibadah, bahkan dalam cara hidup.

Katanya, undang-undang dan peraturan yang melampaui batas akan menjadikan manusia turut melampau batas dan tidak seimbang diantara rohani dan jasad.

Sebagai contoh, berlaku ketidakseimbangan tersebut, kata beliau, adalah jawapan bertulis yang diberikan kerajaan tentang kewujudan pusat snooker dan karaoke di negeri ini, di mana, menurutnya, undang-undang dan peraturan sedia ada membenarkan sebanyak 70 buah pusat tersebut beroperasi.

”Manusia tidak boleh mengawal hawa nafsu, sebagai contohnya saya lihat di sini terdapat ketidakseimbangan,

”Bukannya kita tidak boleh berhibur, boleh berhibur, tetapi sejauh mana batas-batas sempadan dalam hiburan ini,

”saya tidak nampak batas-batas sempadan ini berlaku dengan cara yang teguh dan kuat,”tegasnya.

Dengan itu, katanya, adalah perlu batas-batas sempadan yang dapat mengawal aspek-aspek negatif dari hiburan ini, kerana ia adalah perkara yang sangat penting.

Justeru, beliau berkata, adalah baik bagi kerajaan negeri, jika dilaksanakan undang-undang berdasarkan syari’at Islam yang telah diluluskan oleh DUN dan telah ditandatangani oleh tuanku Sultan serta telah digazetkan.

”Kami telah meluluskan undang-undang berdasarkan syari’at Islam dalam (pada) penggal yang lalu, kerajaan tidak menolak, terus menerima, dan Tuanku (Sultan) telah ‘sign’ (tandatangan) dan (telah) digazetkan,

”alangkah baiknya, perkara ini dilaksanakan dan kami bersedia untuk memberi kerjasama yang sepenuhnya,”katanya.
Read More

RUNTUH ! ANTARA BALASAN ALLAH


Tepoh, KUALA NERUS – PAS menggesa pihak terbabit menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh keatas kejadian bangunan Institut Oseanografi & Institut Akuakultur Tropika (INOS-AKUATROP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang runtuh semalam 29 Mac.

Timbalan Ketua Dewan Ulama' PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata demikian ketika ditemui semalam.

”Kita (PAS) minta pihak yang bertanggungjawab melakukan siasatan secara terperinci, (mengenalpasti) punca menyebabkan keruntuhan (yang) berlaku,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan, kejadian demi kejadian bangunan runtuh yang semakin banyak berlaku dinegeri ini adalah ‘satu pembalasan’ akibat perbuatan zalim kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

”Kalau kita lihat, selepas daripada perobohan Masjid Bujal oleh kerajaan Barisan Nasional, jadi, tragedy keruntuhan bangunan-bangunan sentiasa berlaku, mungkin ini satu pembalasan daripada Allah SWT,” jelasnya

Katanya, perkara tersebut sepatutnya menjadi iktibar kepada pihak berkuasa supaya kerajaan berhati-hati mengambil tindakan dalam soal yang melibatkan kepentingan agama dan orang ramai.

Oleh itu, katanya, peristiwa runtuhnya lantai tingkat empat bangunan INOS-AKUATROP di UMT adalah rentetan daripada peristiwa-peristiwa runtuh yang berlaku sebelum ini.

Oleh yang demikian, beliau mengharapkan, dengan kejadian ‘runtuh’ terbaru yang berlaku, kerajaan dapat membuat siasatan dan mengambil langkah pencegahan, supaya ianya tidak berulang.

Mengulas lanjut tragedi yang berlaku di UMT, beliau berpendapat tidak munasabah bangunan empat tingkat yang tinggi, tidak bertiang, menggunakan perancah (scaffolding) untuk membuat konkrit lantai.

Bagaimanapun, beliau berkata ianya perlu disiasat, termasuk kenyataan Menteri Besar yang menyatakan kejadian tersebut berlaku kerana kecuaian pekerja terbabit.

”Tengok dari gambar itu, bangunan itu, saya tak nampak ada ‘staging’ (perancah), saya pun kurang pasti, kalau ‘staging’ kalau tinggi (empat tingkat) begitu tidak munasabah,

”Sekarang ni, perlulah dibuat siasatan supaya punca yang tepat, samada ‘staging’ itu patah atau pun tidak, perlu kepada siasatan yang tepat dan telus,” tegasnya.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 5.15 petang semalam, pihak bomba, badan penyelamat merasakan ia berlaku kerana ketidakupayaan perancah menyokong struktur, lalu lantai tingkat empat yang sedang di konkrit runtuh.

Seramai lima orang pekerja warga Bangladesh terlibat dengan kejadian yang meragut salah seorang daripada mereka, manakala yang lain masih dirawat di hospital.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menyatakan, kejadian tersebut berlaku kerana kecuaian para pekerja terbabit.
Read More