TAK SALAH ORANG BUKAN ISLAM MASUK MASJID


Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

"Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam," katanya kepada pemberita, sebagaimana dipetik Bernama.

Beliau diminta mengulas tindakan Anggota Parlimen DAP itu yang menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat utama surau terbabit.

Tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama sedangkan pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal di dalam masjid termasuk dibenar tidur, makan dan minum.

"Cuma apa yang dilihat (benda) itu sebagai pelik di zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama," katanya.
Read More

DAP PERLU MEMAHAMI DASAR PERJUANGAN PAS

DAP perlu memahami dasar perjuangan PAS yang bercita-cita mahu melaksanakan hukum hudud dan negara Islam, sekiranya menawan kerajaan persekutuan, bagi mengatasi masalah jenayah dan sosial membabitkan orang Islam.

PAS juga menegaskan, ia tidak akan kompromi sama sekali dalam soal menegakkan hukum hudud dan cita-cita menjadikan Malaysia negara Islam.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pelaksanaan hukum hudud hanya melibatkan orang Islam, bukannya masyarakat bukan Islam.

“DAP tolak hukum hudud mungkin kerana salah faham kerana tidak memahami secara jelas mengenai pelaksanaannya.

“Sebenarnya hukum hudud ini sudah menjadi kewajiban untuk dilaksanakan dan ia merupakan tanggungjawab pemerintah,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata DAP perlu memahami dasar perjuangan PAS yang selama ini memperjuangkan Islam.

“Kita harap DAP memahami dasar perjuangan PAS kerana kita selama ini tidak pernah menyentuh dasar DAP ataupun dasar Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Ada perkara yang kita boleh terima dan kita harap DAP juga begitu dan saya percaya DAP tolak hukum hudud dalam konteks pelaksanaan dalam negara,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, DAP perlu diberikan penerangan mengenai hukum hudud secara jelas supaya mereka memahami maksud sebenar pelaksanaan hukum hudud itu.

“Hukum hudud hanya untuk orang Islam, jadi kalau kita laksanakannya orang bukan Islam tidak akan kena apa-apa tindakan.

“Jadi orang bukan Islam tidak perlu risau mengenainya, jadi saya harap isu ini tidak dijadikan polemik oleh media,” katanya lagi.
Read More

RAMADHAN BULAN TARBIYYAH DAN JIHAD


Ramadhan Bulan Tarbiah, Jihad

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Ramadhan adalah bulan tarbiah dan jihad bagi pejuang-pejuang Islam, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

Justeru, katanya kedatangan Ramadhan adalah proses untuk menundukkan hawa nafsu yang sentiasa bergelodak dalam jiwa untuk mengabadikan jihad dan perjuangan.

“Andainya hawa nafsu boleh ditundukkan dengan jalan lain (bukan berpuasa) nescaya Allah akan mewajibkannya.

“Namun bilamana Allah mewajibkan puasa kepada umat dahulu dan sekarang, bermakna hawa nafsu hanya dapat dikawal melalui ibadat puasa,” ujarnya dalam perutusan sempena Ramadhan 1431H.

Katanya, sejarah jatuh bangun umat dahulu memperlihatkan betapa banyaknya tekanan musuh dan serangan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan kerana musuh menganggap umat Islam akan lemah kerana berpuasa.

“Lihatlah di zaman kita serangan ke atas Iraq, Afghanistan, Bosnia dan lainnya banyak dimulakan dalam bulan Ramadhan.

“Bahkan kalau kita buka lipatan sejarah lampau, sejak zaman Rasulullah hingga zaman tabieen, serangan musuh banyak tertumpu dalam bulan Ramadhan,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Kerana itu, katanya Ramadhan janganlah dijadikan alasan untuk mengabaikan jihad; kerana tarbiah Ramdhan adalah tarbiyah langsung dari Allah, sehingga Allah menyatakan dalam hadis Qudsi yang bermaksud: Puasa kamu untuk Ku, maka Akulah yang akan memberi balasannya.

“Alhamdulillah, Ramadhan datang lagi dengan penuh rahmat dan keberkatan. Marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dipanjangkan umur sehingga kita bertemu semula Ramadhan,” ujarnya.

Katanya, Rasulullah s.a.w. sering kali berdoa yang bermaksudnya: Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Syaaban, dan (panjangkan umur kami) sehingga bertemu dengan Ramadhan.

“Betapa besarnya rahmat Ilahi bilamana kita dipanjangkan umur sehingga bertemu dengan Ramadhan kerana sabda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Antara Ramadhan ke Ramadhan adalah pengampunan Allah.

Maksudnya, jelasnya sesiapa yang dipanjangkan umur sehingga dapat bertemu dengan Ramadhan, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yakni dosa kecil.

“Panjang umur bukan kerja kita, ia benar-benar hak mutlak Allah; lantaran itu marilah kita mensyukurinya.

“Saya mengambil kesempatan menyeru kepada semua pendokong parti agar menjadikan Ramadhan ini sebagai bulan menambahkan amalan seharian, hidupkan tadarus al-Quran di kalangan ahli usrah,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyeru supaya dihidupkan majlis berbuka, tarawih dan tazkirah di mana-mana ruang yang ada dan ambillah kesempatan menderma terutamanya memberi makan kepada orang yang berpuasa.

Ini, katanya kerana Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa iaitu menyediakan makanan berbuka puasa, maka dia memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, dan tidak kurang sedikitpun pahala puasanya.

Namun, beliau mengingatkan orang yang berpuasa supaya hendaklah memendekkan masa di bazar-bazar Ramadhan, dan jangan membeli juadah untuk berbuka dari tangan-tangan yang fasiq, tangan yang tidak mengerjakan sembahyang, dan tangan yang tidak takutkan Allah.

“Peliharalah setiap suap makanan kerana ia menjadi darah daging, dan darinya menjadi air mani yang melahirkan zuriat kamu.

Kutiplah mutiara keberkatan Ramadhan pada siangnya dan hidupkanlah ibadahmu pada malamnya, kerana persoalan utama bukan Ramadhan yang penuh keberkatan dan rahmat, tetapi apakah kita memperolehi keberkatan dan rahmat itu,” katanya.
Read More

MDQ SAMBUT JUBLI PERAK


Rusila, MARANG - Maahad Darul Quran (MDQ) Rusila akan menganjurkan Sambutan Jubli Perak MDQ, sempena 25 tahun penubuhannya bermula 5 hingga 7 Ogos ini.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah MDQ, Dato' Husain Awang (gambar) yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu berkata, majlis perasmian dan penyampaian anugerah-anugerah khas MDQ akan diadakan pada 5 Ogos oleh Presiden Pas, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, pada hari itu juga, pelancaran buku ‘Jubli Perak MDQ’ akan turut diadakan sebagai penanda aras kejayaan MDQ melahirkan generasi al-Quran yang unggul, sejak 1985 lagi.

“Sejak beroperasi, kita telah berjaya melahirkan 1,489 pelajar dan pada tahun ini sahaja, seramai 72 orang akan menamatkan pengajian yang setaraf dengan pendidikan menengah atas Sijil Thanawi.

“Setakat ini, kebanyakan pelajar kita berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar di Mesir, malah ada yang berjaya hingga ke Iran, Yaman, Iraq, Indonesia, Pakistan, United Kingdom dan pelbagai institusi pengajian dalam dan luar negara, tanda pengiktirafan terhadap lulusan MDQ,” katanya.

Menurutnya, sempena sambutan itu juga, jamuan sambil menderma akan diadakan di pekarangan Masjid Rusila pada 6 Ogos ini, bermula jam 7 pagi hingga jam 12 tengah hari, manakala pada sebelah petangnya, akan diadakan Majlis Ihtifal Idul Ilmi di Dewan Besar MDQ.

Pada malamnya akan diadakan Majlis Kesenian Islam manakala pada 7 Ogos pula, seminar pendidikan Islam akan diadakan, diikuti Ijtima’ Alumni pada sebelah petangnya.

Ceramah perdana akan diadakan sebelah malamnya.

“Terima kasih diucapkan kepada Majlis Ibu Bapa dan Guru (MIBG) MDQ dan semua dermawan,” katanya.- SinarHarianOnline
Read More

PENIPUAN UMNO TERHADAP ISLAM


Isu Perpaduan Melayu antara Umno dengan PAS seharuskan tidak timbul lagi kerana PAS telah memutuskan tetap bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

Perpaduan Melayu Umno-PAS sebenarnya tidak perlu disebut lagi kerana ia telah diputuskan dalam Muktamar Tahunan PAS tahun lalu serta dianggap selesai.

PAS tetap dengan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat dan untuk menyatukan PAS dengan Umno. Umno perlu berubah. Perubahannya ialah mestilah mendasari kepada Islam.

Setakat ini, bukti yang Umno kembali kepada Islam tidak pernah wujud.

Umno terus-menerus melakukan pembohongan serta mempergunakan Islam demi kepentingan politiknya.

Sejak puluhan tahun Umno melakukan penipuan terhadap Islam dengan slogan ‘Penerapan Nilai-nilai Islam’ dan ‘Islam Hadhari’.

Pembohongan (Umno) terhadap Islam terus menerus berlaku yang bermula dengan ‘Penerapan Nilai-nilai Islam’ menipu rakyat selama lebih 20 tahun.

Diikuti dengan ‘Islam Hadhari’ menipu lebih dari lima tahun dan sekarang ini wujud satu gagasan baru (Satu Malaysia) untuk mengelirukan rakyat.

Sebelum ini, pemimpin Umno semua bertegang leher mengatakan Islam Hadhari itu baik, namun di mana Islam ‘Hadhari’ dan siapa lagi yang bercakap tentang Islam Hadhari kini.

Ia satu bukti yang jelas penipuan Umno terhadap Islam serta cuba mengelirukan rakyat bagi menyekat kemaraan PAS.

Dato’ Husin Awang
Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Terengganu
Read More