Friday, May 20, 2011

MANTAN BENDAHARI DUPNT MENINGGAL DUNIA


KUALA TERENGGANU - Pengerusi Kelab Veteran PAS Terengganu, Ustaz Kasim Ahmad, 74, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Tuan Mandak, Batu Enam, Kuala Terengganu.

Bekas wakil rakyat PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Serada (1969) itu disahkan meninggal dunia jam 10.30 pagi dihadapan isteri keduanya Puan Zainab Awang, 41, dan anak-anak setelah diserang penyakit angin ahmar (stroke) hampir sebulan lalu.

Ustaz Kasim yang juga Bendahari Dewan Ulama’ PAS Terengganu meninggalkan dua balu iaitu Puan Noraidah Sulaiman dan Puan Zainab Awang bersama 13 orang anak hasil perkongsian hidup dengan kedua-dua isterinya.

[Gambar - Allahyarham - berbaju hitam tiga dari kanan - hadir pada Makan Malam Dana Pendidikan anjuran Dewan Ulamak PAS Terengganu pada 29 April lalu]

Jenazah allahyarham dimandikan di rumahnya jam 3.00 dan akan disembahyangkan di Masjid at-Taqwa, Batu Enam selepas solat asar, petang ini Khamis 19 Mei.

Antara jawatan penting parti yang pernah diamanahkan kepada beliau iaitu Pesuruhjaya PAS Terengganu, Setiausaha PAS Terengganu, Bendahari PAS Terengganu, Ketua Penerangan PAS negeri, Yang Dipertua PAS Dungun, Hulu Terengganu dan Marang dan lain-lain.

Selain itu, beliau juga merupakan Bendahari Pembangunan Ma’ahad Darul Quran (MDQ) Rusila dan Pengerusi Koperasi Insaf Negeri Terengganu (KoINSAF).

Turut menziarahi jenazah allahyarham di rumahnya ialah Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Ketua Muslimat PAS Terengganu dan Setiausahanya, Safinah Jusoh dan Raja Endun Raja Abdul Rahman, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr B.Chandran dan Ketua Penerangan PAS Kuala Nerus, Ustaz Ismail Dagang.

0 comment:

Post a Comment